Saturday, November 17, 2018

Writing With Purpose

Hari ini aku hadir majlis ilmu bertajuk Writing with Purpose. Penceramah adalah 3 penulis Melayu Islam dari Singapura. Ini bukan kali pertama aku mendengar perkongsian ilmu dalam Bahasa Inggeris tapi dari penulis Melayu Islam, ini kali pertama.

Peserta lebih kurang 20 orang sahaja. Bilik ceramah selesa. Terkedu aku mendengar perkongsian mereka. Setiap ayat nama Allah dan/atau RasulNya pasti disebut. Buku-buku yang mereka tulis juga adalah tentang Islam.

Buku pertama aku tulis benar-benar untuk dapatkan pendapatan sampingan. Alhamdulillah hasil jualan boleh tahan juga. Itu belum termasuk royalti jika dibayar.

Perkongsian penulis-penulis ini huat aku semak semula niat aku menulis. Aku kini berazam untuk tulis lillahi taala. Aku berharap karya aku berikutnya mampu mengajak pembaca kembali kepada Allah atau sekurang-kurangnya mengingati Allah. Aku juga berharap karya aku berikutnya mampu memberikan ilmu yang bermanfaat kepada pembaca dan melayakkan aku mendapat pahala yang berterusan biidznillah.

Bercerita tentang ilmu yang bermanfaat, aku teringat satu cerita. Dalam satu majlis ilmu bertajuk Heart Therapy, duduk sebelah aku - seorang wanita dalam lingkungan usia 40an juga. Ketika waktu rehat, Setelah berbasa basi, ditunjuk seorang budak lelaki dan perempuan berdiri berhampiran pentas.

"Itu anak-anak saya. Puan ada berapa orang anak?" tanya beliau kepada aku.

"Saya tidak ada anak."

"Dah lama kahwin?"

"Alhamdulillah, sudah 12 tahun."

"Rugi sikit kalau takde anak. Bila kita meninggal, hanya tiga perkara yang boleh membawa manfaat kepada kita. Salah satunya anak yang akan mendoakan kita."

Air mata aku hampir tumpah ketika itu. Bukan aku sedih tidak dikurniakan cahaya mata. Aku sudah lama reda. Aku tahu Allah tahu ini terbaik untuk aku. Cuma aku terkilan, kata-kata itu lahir dalam majlis ilmu tazkiyat al-nafs; majlis untuk mengubat hati, dari mulut seorang wanita yang bertudung labuh, yang aku kira lebih arif tentang qada dan qadar Allah.

Dulu, aku kecewa kata-kata ini dilontarkan kepada aku. Kini kata-kata ini jadi pendorong untuk aku tulis karya yang bermanfaat agar bila aku perlu kembali kepada Dia, masih ada pahala yang mengalir untuk bekalan aku.


No comments:

Post a Comment