Wednesday, November 21, 2018

Dare to Dream

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir perkongsian ilmu dan pengalaman anjuran Safinah Institute Singapore. Mereka dalam rangka lawatan program Safinah Book Tour Kuala Lumpur 2018. Ada 4 slot berasingan. Setiap satu dikenakan bayaran berbeza. Saya pilih Writing With Purpose dan Dare to Dream. Slot lain adalah Healing Through The Words of The Merciful dan When They're Gone.

Saya memang menanti slot Neollene Ain, seorang pengembara tegar dan penerbit filem. Jujur, saya tidak pernah kenal atau dengar nama Neollene sebelum ini. Rupanya beliau adalah seorang arkitek yang meninggalkan zon selesa demi sebuah cita-cita - mengembara dan merakam kembara dalam bentuk gambar dan video.

Terasa diri punya persamaan dengan Noellene. Saya meninggalkan zon selesa bekerja sebagai peguam kerana inginkan masa untuk melakukan perkara/aktiviti yang saya suka. Sewaktu bekerja, duit ada, masa tiada. Hatta bila bercuti di luar negara, ada kalanya terpaksa melayan panggilan telefon dari client.

Berhenti kerja, keluar dari zon selesa kerana inginkan masa untuk membaca dan kembara. Dulu setiap kali kembara, gigih menulis di blog iamaprincipal.com. Sekembali dari umrah pada tahun 2013, nekad tutup blog ini walaupun telah mempunyai ramai pengikut dan entri lebih 600. Terlalu banyak gambar diri sendiri dan rakan-rakan tanpa hijab dan tutup aurat tidak sempurna. Kesal? Lebih baik kesal di dunia dari kesal di akhirat.

Berbalik kepada slot Neollene. Cerita keluar dari zon selesa dilakukan oleh ramai orang. Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Apa yang luar biasa, pengalaman Neollene selepas keluar dari zon selesa. Bermula dari merakamkan memori kembara hingga akhirnya buka jalan untuk jadi penerbit filem, penceramah, ikon. 

Biidznillah, saya percaya jalan yang saya pilih mampu mengikuti sedikit sebanyak jejak langkah Neollene. Cuma medium berbeza. Saya lebih gemarkan rakamkan kenangan kembara dalam bentuk tulisan.

Beberapa tawaran tulis buku solo dan antologi saya tolak. Tawaran untuk kongsi ilmu dan pengalaman di pentas juga saya tolak. Memang sayang lepaskan peluang yang tidak diperolehi oleh semua penulis terutama penulis baharu seperti saya. Impian jangka pendek saya jelas. Mungkin jalan ini tidak mahu ditempuhi oleh penulis usia hampir separuh abad seperti saya. Belajar sesuatu yang baharu terutama yang melibatkan teknikal bukan mudah.

Begin...the rest is easy insyaAllah.

No comments:

Post a Comment