Wednesday, November 21, 2018
Dare to Dream
Saya memang menanti slot Neollene Ain, seorang pengembara tegar dan penerbit filem. Jujur, saya tidak pernah kenal atau dengar nama Neollene sebelum ini. Rupanya beliau adalah seorang arkitek yang meninggalkan zon selesa demi sebuah cita-cita - mengembara dan merakam kembara dalam bentuk gambar dan video.
Terasa diri punya persamaan dengan Noellene. Saya meninggalkan zon selesa bekerja sebagai peguam kerana inginkan masa untuk melakukan perkara/aktiviti yang saya suka. Sewaktu bekerja, duit ada, masa tiada. Hatta bila bercuti di luar negara, ada kalanya terpaksa melayan panggilan telefon dari client.
Berhenti kerja, keluar dari zon selesa kerana inginkan masa untuk membaca dan kembara. Dulu setiap kali kembara, gigih menulis di blog iamaprincipal.com. Sekembali dari umrah pada tahun 2013, nekad tutup blog ini walaupun telah mempunyai ramai pengikut dan entri lebih 600. Terlalu banyak gambar diri sendiri dan rakan-rakan tanpa hijab dan tutup aurat tidak sempurna. Kesal? Lebih baik kesal di dunia dari kesal di akhirat.
Berbalik kepada slot Neollene. Cerita keluar dari zon selesa dilakukan oleh ramai orang. Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Apa yang luar biasa, pengalaman Neollene selepas keluar dari zon selesa. Bermula dari merakamkan memori kembara hingga akhirnya buka jalan untuk jadi penerbit filem, penceramah, ikon.
Biidznillah, saya percaya jalan yang saya pilih mampu mengikuti sedikit sebanyak jejak langkah Neollene. Cuma medium berbeza. Saya lebih gemarkan rakamkan kenangan kembara dalam bentuk tulisan.
Beberapa tawaran tulis buku solo dan antologi saya tolak. Tawaran untuk kongsi ilmu dan pengalaman di pentas juga saya tolak. Memang sayang lepaskan peluang yang tidak diperolehi oleh semua penulis terutama penulis baharu seperti saya. Impian jangka pendek saya jelas. Mungkin jalan ini tidak mahu ditempuhi oleh penulis usia hampir separuh abad seperti saya. Belajar sesuatu yang baharu terutama yang melibatkan teknikal bukan mudah.
Begin...the rest is easy insyaAllah.
Read Aloud
Kajian menunjukkan anak-anak yang ibu bapa mereka bacakan buku kanak-kanak dari bayi lagi membantu perkembangan literasi anak dalam aspek berikut :
1) pengetahuan tentang bunyi dan nama huruf
2) konsep cetak/tulisan
3) perbendaharaan kata
4) kefahaman
5) pengetahuan am
Di mana sesuai untuk aktiviti read aloud?
- di mana sahaja asalkan anak selesa, boleh dengar suara ibu bapa/guru dan boleh lihat buku yang dibaca. Di tadika bagus jika anak dapat duduk di tempat yang telah ditandakan dengan nama atau tanda lain.
Apa bahan bacaan sesuai untuk read aloud?
- sesuai dengan usia anak, menarik, kualiti bagus. Saya suka buku-buku Eric Carle dan buku terbitan Scholastic.
Kenapa perlu read aloud?
- bantu kemahiran literasi awal seperti pengetahuan tentang bunyi dan nama huruf, konsep cetak/tulisan, perbendaharaan kata, kefahaman dan pengetahuan am.
Siapa perlu buat aktiviti read aloud?
- Guru, ibu bapa, ahli keluarga. Boleh juga menggunakan multimedia seperti dvd, youtube cuma perlu pengawasan orang dewasa.
Bagaimana nak buat aktiviti read aloud? Poin penting yang perlu diberi perhatian :
1) Sentiasa perhatikan respon anak
-Jika anak mula gelisah, sukar dapatkan perhatian anak, berhenti dari terus membaca.
2) Galakkan interaksi
- contoh jika ada lagu, ayat, peringatan penting boleh minta anak ulang.
- tunjuk gambar atau perkataan dalam buku.
- beri peluang anak bertanya soalan
4) Boleh dibuat one-on-one atau one-on-two atau dalam kumpulan kecil.
Saturday, November 17, 2018
Emergent Writing
2) writing through scribbling
3) writing through letterlike forms
4) writing by familiar units or letter strings
5) writing through invented spelling
6) writing through conventional spelling
- berlaku peningkatan dari :
a) disordered (tanpa kawalan) kepada
b) longitudinal (terkawal dan berulang) kepada
c) circular (lebih kompleks, terkawal)
- bila sampai ke peringkat akhir, biasanya mereka boleh namakan benda atau cerita apa yang mereka lukis.
- pilih warna sebarang; ada yang warna pokok merah jambu.
- lukisan menunjukkan ada hubungan antara lukisan, fikiran dan realiti.
Writing With Purpose
Hari ini aku hadir majlis ilmu bertajuk Writing with Purpose. Penceramah adalah 3 penulis Melayu Islam dari Singapura. Ini bukan kali pertama aku mendengar perkongsian ilmu dalam Bahasa Inggeris tapi dari penulis Melayu Islam, ini kali pertama.
Peserta lebih kurang 20 orang sahaja. Bilik ceramah selesa. Terkedu aku mendengar perkongsian mereka. Setiap ayat nama Allah dan/atau RasulNya pasti disebut. Buku-buku yang mereka tulis juga adalah tentang Islam.
Buku pertama aku tulis benar-benar untuk dapatkan pendapatan sampingan. Alhamdulillah hasil jualan boleh tahan juga. Itu belum termasuk royalti jika dibayar.
Perkongsian penulis-penulis ini huat aku semak semula niat aku menulis. Aku kini berazam untuk tulis lillahi taala. Aku berharap karya aku berikutnya mampu mengajak pembaca kembali kepada Allah atau sekurang-kurangnya mengingati Allah. Aku juga berharap karya aku berikutnya mampu memberikan ilmu yang bermanfaat kepada pembaca dan melayakkan aku mendapat pahala yang berterusan biidznillah.
Bercerita tentang ilmu yang bermanfaat, aku teringat satu cerita. Dalam satu majlis ilmu bertajuk Heart Therapy, duduk sebelah aku - seorang wanita dalam lingkungan usia 40an juga. Ketika waktu rehat, Setelah berbasa basi, ditunjuk seorang budak lelaki dan perempuan berdiri berhampiran pentas.
"Itu anak-anak saya. Puan ada berapa orang anak?" tanya beliau kepada aku.
"Saya tidak ada anak."
"Dah lama kahwin?"
"Alhamdulillah, sudah 12 tahun."
"Rugi sikit kalau takde anak. Bila kita meninggal, hanya tiga perkara yang boleh membawa manfaat kepada kita. Salah satunya anak yang akan mendoakan kita."
Air mata aku hampir tumpah ketika itu. Bukan aku sedih tidak dikurniakan cahaya mata. Aku sudah lama reda. Aku tahu Allah tahu ini terbaik untuk aku. Cuma aku terkilan, kata-kata itu lahir dalam majlis ilmu tazkiyat al-nafs; majlis untuk mengubat hati, dari mulut seorang wanita yang bertudung labuh, yang aku kira lebih arif tentang qada dan qadar Allah.
Dulu, aku kecewa kata-kata ini dilontarkan kepada aku. Kini kata-kata ini jadi pendorong untuk aku tulis karya yang bermanfaat agar bila aku perlu kembali kepada Dia, masih ada pahala yang mengalir untuk bekalan aku.
Thursday, November 15, 2018
6 Strategi Bantu Perkembangan Bahasa Lisan Anak
Sejak akhir-akhir ini pelajar dalam kelas 4 tahun kami ada yang menhadapi masalah lewat pertuturan (speech delay). Jika dulu, pelajar 4 tahun sudah petah bercakap, kini ada yang sekadar mampu tunjuk apa yang mereka mahu dan sekadar keluarkan bunyi.
Di usia 4 tahun, kanak-kanak tipikal biasanya sudah boleh cakap 3 dan lebih perkataan dalam 1 ayat. Contoh : mama, nak makan nasi.
Kajian menunjukkan perkembangan bahasa dan perkembangan literasi anak mempunyai perkaitan rapat. Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa lisan yang baik selalunya mempunyai kemahiran membaca dan menulis yang baik. Kanak-kanak yang menghadapi masalah lewat bertutur ada risiko menghadapi masalah membaca dan menulis.
Ibu bapa boleh bantu perkembangan bahasa lisan kanak-kanak dengan cara berikut :
1) Sentiasa bercakap dengan anak bila ada kesempatan. Sentiasa cari masa untuk bercakap dengan anak.
2) Biasakan bercakap dengan anak pada jarak dekat supaya mereka dapat lihat eskpresi muka dan pergerakan bibir/mulut, dengar percakapan anda dengan jelas dan ada eye contact.
3) Sentiasa mendengar dengan penuh minat apa yang anak cakap. Jangan sibukkan diri dengan perkara yang tak perlu bila anak sedang bercakap.
4) Berbual tentang aktiviti anda dan aktiviti anak di taska/rumah pengasuh. Jika anda suri rumah, berbual tentang aktiviti yang sedang dilakukan atau akan dilakukan dengan anak.
5) Perbanyakkan aktiviti menyanyi dengan anak terutama lagu yang sesuai dengan anak. Nursery rhymes adalah contoh terbaik.
6) Bercerita/bacakan buku cerita supaya anak mendengar lebih banyak perkataan dan susunan ayat.
5 Kepentingan Literasi Awal
Semasa belajar pendidikan awal kanak-kanak di Summit International College, pensyarah saya mengingatkan saya agar ingat PILES bila memperkatakan tentang "developing whole child." Perkembangan awal kanak-kanak tidak boleh lari dari membincangkan perkembangan dari segi fizikal (physical), intelektual (intellectual), bahasa (language), emosi (emotional) dan sosial (social).
Dahulu, penekanan lebih diberikan kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Kini ramai guru-guru pendidikan awal kanak kanak atau singkatan yang sering digunakan, early childhood education (ECE) berpendapat perkembangan literasi sama pentingnya dengan perkembangan PILES.
5 sebab penting mengapa literasi perlu diperkenalkan sejak dari awal lagi :
1) Kanak-kanak belajar mengenai dunia di sekeliling mereka
Kanak-kanak boleh lebih tahu dan faham tentang kehidupan masyarakat di negeri dan negara lain. Mereka boleh belajar benda hidup lain di muka bumi ini seperti haiwan dan tumbuhan, belajar tentang ciptaan tuhan yang lain seperti bulan, bintang, laut.
2) Memudahkan kehidupan kanak-kanak
Contoh dengan name tag atau tanda nama, kanak-kanak di taska boleh tahu mana barang milik mereka. Label di rak atau kotak mainan mudahkan anak-anak ambil barang yang mereka perlukan.
3) Menggembirakan kanak-kanak
Kanak-kanak suka lihat dan pegang buku bergambar yang menarik dan bagus seperti buku Dr Seuss walaupun mereka belum tahu membaca. Saya sendiri hingga kini gemar membaca dan tertarik dengan ilustrasi buku-buku Eric Carle.
Jika kanak-kanak sudah pandai membaca tentunya buku-buku ini beri lebih kegembiraan kepada kanak-kanak.
4) Boleh buat penilaian awal pencapaian kanak-kanak sebelum masuk tadika
Menyediakan persekitaran yang kaya dengan literasi sejak anak di buaian lagi membantu perkembangan literasi anak bila masuk tadika.Kanak-kanak yang tahu bunyi dan nama huruf serta tahu fungsi cetakan sebelum masuk tadika besar kemungkinan boleh membaca dengan baik bila masuk tadika.
5) Bantu Perkembangan Bahasa
Perbualan harian selalunya tiada perkataan dan tatabahasa seperti dalam buku. Jika anak-anak didedahkan dengan buku sejak kecil lagi (contoh ibu bapa baca buku kepada anak), lebih banyak perkataan anak belajar dan lebih kompleks ayat yang digunakan oleh anak.
Literasi awal bukan bermakna ibu bapa perlu beli pelbagai kad imbas atau flash cards. Juga tidak bermakna perlu ada meja dan kerusi belajar untuk si kecil. Literasi awal boleh diperkenalkan sebagai contoh dengan meletakkan label di barang milik anak, sediakan ruang dan alatan untuk anak "menconteng," sediakan banyak buku bergambar dan baca label/resepi dengan anak.
Tuesday, November 13, 2018
Bila Takdir Mengatasi Tadbir
Entri sebelum ini
Detik yang berlalu, hati makin terasa sayu. Ingin kulihat babah kembali ke pangkuan kami. Kata-kata doktor begitu meruntun jiwa. Babah berhenti bernafas pada kali pertama. CPR dilakukan. Berhenti bernafas kali kedua. Sekali lagi CPR dilakukan.
Lewat petang doktor panggil kami ke bilik mesyuarat. Waktu itu aku tahu peluang untuk melihat babah kembali ke pangkuan kami amat tipis. Babah akan kembali kepada rumah yang abadi.
"Saya ingin minta pendapat ahli keluarga. Encik Mohd Nor telah berhenti bernafas 2 kali. He's brain dead. Jika kali ketiga berhenti bernafas, adakah ahli keluarga mahu CPR dilakukan atau biarkan sahaja?" tanya doktor.
Kami sepakat - kami rela babah pergi. Kami saling bertukar-tukar tempat berada di sisi babah buat kali terakhir. Masih kuingat, pada jam 9.38 malam, aku nampak garis lurus di monitor. Seakan keliru sebentar, aku tanya doktor berhampiran. Beliau hanya diam, tanpa berkata apa-apa.
Aku keluar. Bingung dengan apa yang aku saksikan. 9.40 malam, babah diisytiharkan telah kembali kepada Pencipta.
Air mata aku sudah kering. Kepala terasa sakit. Sepupu-sepupu suruh kami pulang, biar mereka uruskan. Aku pulang dan terus tidur. Kepala makin berdenyut.
Babah disemadikan di saf kubur keluarga ibu. Babah meninggalkan kami seminggu selepas kami meraikan hari jadi babah yang ke 70 tahun.
Masih terngiang kata-kata babah seminggu sebelum itu.
"Doktor kata jantung babah hanya 30% sahaja berfungsi. Makin lemah. Jaga ibu. Adik beradik jangan bergaduh, jangan berpecah."
Kematian mengejut dalam keluarga aku agak lumrah. Sebelum itu, adik ipar aku meninggalkan kami semasa sedang berehat selepas mesin rumput. Ibu saudara aku meninggal dunia ketika sedang berbual dengan babah. Tiba-tiba kepala terlentok di bahu, menghembuskan nafas terakhir di depan mata babah. Sepupuku menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjaga anak asuhan.
Apa yang boleh dipelajari dari kematian mengejut sebegini? Mati itu pasti. Kedatangan tidak diduga, kita harus sentiasa bersedia menghadapi detik itu.
Aku masih belum bersedia. Masih belum taubat nasuha dosa lalu. Masih liat untuk solat awal waktu. Kalimah ittaqullah masih belum mampu tundukkan nafsu.
Moga ada masih diberi peluang baiki kelemahan diri.
Kerinduan Yang Tak Terucap
Isteri yang ditinggalkan, hati kecil pasti berkata, "andainya kutahu...." Anak yang ditinggalkan pasti sedih tidak sempat salam tangan ayah buat kali terakhir. Ibu bapa arwah jika masih ada pasti sedih anak pergi lebih awal dari mereka.
Aku sendiri pernah merasai pengalaman sedih ini. Babah aku meninggal tanpa sempat aku katakan kepada dia yang aku sangat sayang pada dia.
Cerita ibu, babah sedang sapu sampah di halaman rumah bila tiba-tiba dia mengadu sakit dada. Babah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung ketika aku masih di universiti lagi.
Selepas pembedahan Babah jalani hidup yang lebih sihat. Bila ada rombongan kembara warga emas, dia turut serta. Aku yang jadi pembantu peribadi yang tak bergaji - cari pakej yang sesuai dan uruskan segala dokumen perjalanan. Aku ikut jejak babah, suka kembara.
Bila babah mengadu sakit dada, cepat-cepat ibu telefon kakak aku yang tinggal berhampiran. Abangku juga bergegas ke rumah ibu bapa aku. Mujur adik beradik aku tinggal berhampiran.
Babah dikejarkan ke Pantai Medical Centre Ayer Keroh tapi ditolak ke Hospital Besar Melaka.
Aku masih di sekolah ketika kakak aku telefon. Setiap kali ada panggilan dari kampung, aku cuak. Takut apa-apa berlaku kepada ibu dan babah.
"Alang, babah masuk hospital. Sekarang di Hospital Besar Melaka. Kalau boleh, baliklah."
Malam sebelum itu, seperti biasa aku telefon babah. Anak-anak perempuan 4 orang memang rapat dengan babah. Hanya abang long yang rapat dengan ibu.
"Bah, Pok De dah meninggal." Pakcik aku, abang ipar babah meninggal pada hari itu.
"Biarlah." Lain benar suara babah malam itu. Selalu bila kami telefon babah sentiasa ceria. Aku fikirkan mungkin babah tak sihat. Mana nak sangka itu kali terakhir aku dapat bercakap dengan babah.
Mujur sekolah tak jauh dari rumah. Segera aku berkemas dan memandu sendirian balik kampung. Suami menyusul kemudian.
Sedih aku melihat babah setiba aku di Hospital Besar Melaka. Alat bantuan pernafasan bukan sahaja menutup hidung tapi juga keseluruhan kepala.
Babah tunjukkan isyarat 5 (minit) untuk dia berkata sesuatu kepada aku. Ini tidak dibenarkan. Kata jururawat, jika dicabut, kami akan kehilangan babah buat selama-lamanya. Beberapa kali babah tunjuk isyarat 5. Permintaan babah, pihak hospital tidak dapat penuhi. Air mata aku tidak berhenti mengalir. Babah hanya memandang aku dengan pandangan yang sayu.
Sunday, November 11, 2018
Impian Kecil
Buku kedua dan ketiga yang aku rancang adalah dalam format ebook. Ebook pertama sudah siap ditulis, hanya tunggu aku sunting buat kali pertama. Aku pernah hadir kelas Tuan Izan Shafie. Beliau pakar dalam pemasaran online terutama FB Ads. Aku tidak ada produk untuk dipasarkan waktu itu. Aku berharap dapat belajar cara menjual ebook.
Bila Tuan Izan tanya,
"apa impian puan?"
Aku jawab,
"saya berharap dapat tulis dan jual ebook kepada 200 pembeli."
Tuan Izan kata impian aku terlalu kecil. Beliau jual 5000 ebook sebulan.
Baru-baru ini aku mendapat jemputan dari Tuan Nasrul, Ustaz Kartun untuk berkongsi ilmu dengan penulis baharu di Alor Setar, Kedah. Tajuk "Tulis Sampai Terbit - Pengalaman Penulis Budak Kelas Belakang." Pada mulanya aku bersetuju. Kemudian aku mohon maaf kepada Tuan Nasrul mengatakan aku tidak yakin dapat kendalikan bengkel sehari.
Aku rasa lebih yakin jika aku hanya diberi slot satu jam dalam mana-mana bengkel penulisan. Tanpa segan silu aku komen di post Puan Sri Diah jika dia sudi undang aku untuk kongsi pengalaman dalam bengkel yang beliau anjurkan. Puan Sri Diah hantar mesej kepada aku,
"...mahukah jika saya pelawa puan ke sesi di Pulau Pinang pada 8 Disember 2018?"
Pada mulanya aku bersetuju. Sejam kemudian, aku minta maaf. Aku tidak dapat melakukannya.
Pada mulanya aku marah pada diri sendiri.
'What is wrong with me?'
Mana perginya Emylia Mohd Nor, penulis Budak Kelas Belakang yang tidak suka berada terlalu lama di zon selesa, yang sukakan cabaran, yang jadikan begin, the rest is easy sebagai moto hidup?
Lama aku memikirkan peluang yang aku tolak. Terngiang kembali kata-kata Tuan Izan yang aku mempunyai impian kecil. Peluang bercakap dan berkongsi pentas dengan penulis terkenal peluang terbaik untuk aku self branding dan promosi Budak Kelas Belakang. Bukan semua penulis baharu dapat peluang seperti ini.
Bila aku dapat kembali berfikir secara rasional, aku tidak menyesal tolak tawaran yang diterima. Aku rasa masa tidak sesuai. Aku masih baharu dalam bidang penulisan, tidak banyak yang dapat dikongsikan. Tarikh bengkel yang dicadangkan dalam bulan November dan Disember juga pasti memenatkan aku. Dua bulan ini aku paling sibuk. Aku perlu kerja 6 hari seminggu untuk pendaftaran pelajar baharu. Aku juga gigih menulis ebook kedua - Aku dan Dia : Istanbul. Aku tidak mahu diri terlalu stres cuba buat banyak perkara dalam satu masa.
Buat masa ini, mungkin impian aku masih kecil. Di usia 46 tahun, di saat ramai rakan-rakan sebaya aku hanya "follow the flow," aku akan pastikan aku tidak berada di zon selesa ini terlalu lama. Biidznillah.
Tuesday, November 6, 2018
Definisi dan Kepentingan Literasi Awal
Perubahan Bermula Dari Anda
The Principal
Saya, Emylia Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai "the Principal" mendapat pendidikan rendah di Convent Infant Jesus (2) Melaka dari darjah 1 hingga 4. Dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka semasa darjah 5. Menyambung pengajian menengah di Sekolah Tun Tijah Melaka selama empat bulan sebelum dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Meneruskan pengajian tingkatan enam di Sekolah Tinggi Melaka sebelum melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Saya memulakan kerjaya sebagai seorang peguam conveyancing pada tahun 2000. Dua tahun kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengurus firma guaman, cawangan Seremban. Jawatan ini mengkehendaki saya mencari bisnes untuk firma; beri pengalaman bisnes pertama kepada saya. Pada tahun 2004, ketika bekerja sebagai peguam, 2004/2005 saya telah dianugerahkan Certificate in Montessori (Theory & Methodology) dari London Montessori Centre setelah menamatkan pengajian selama setahun setengah di Summit International College. Saya bekerja sebagai peguam sehingga akhir tahun 2006.
Selepas meninggalkan bidang pekerjaan, saya terus terjun dalam bisnes, mengusahakan tadika di bawah francais di bawah jenama Q-dees. Saya telah mengusahakan tadika Q-dees Saujana Utama sejak Januari 2007. Sejak jadi pengusaha tadika, saya telah hadir banyak kursus mengenai pendidikan awal kanak-kanak Paling saya suka adalah ilmu tentang ajar anak-anak kecil membaca. Justeru itu bila ada anak murid saya yang sukar membaca, menulis, mengeja walaupun telah diajar banyak kali, saya cari jawapan kepada persoalan kenapa ini boleh berlaku?
Saya menemui perkataan disleksia yang dikaitkan dengan masalah 3M ini dalam pencarian saya. Banyak juga kursus mengenai disleksia saya hadir. Saya juga pernah menganjurkan satu bengkel disleksia secara percuma di Shah Alam. Speaker jemputan adalah Prof Dr Zulikha Jamaludin dari Universiti Utara Malaysia. Minat mendalam tentang literasi kanak-kanak mendorong saya hadir bengkel kaedah Orton Gillingham, kaedah yang telah digunapakai sejak 1920an untuk mengajar anak-anak yang sukar membaca, menulis, mengeja. Saya juga mula menulis di blog anakdisleksia.com/blog.
Di masa lapang, saya suka membaca. Antara genre yang menarik minat saya adalah pendidikan awal kanak-kanak,travelog, motivasi, autobiografi/memoir dan "self help." Minat membaca mendorong saya untuk menulis buku pertama saya Budak Kelas Belakang; buku kisah hidup yang menceritakan pengalaman hidup di asrama penuh dan liku-liku perjalanan hidup saya dalam mengejar cita-cita menjadi peguam.
Di samping membaca, saya juga minat mengembara dan telah mengembara ke lebih dari 40 bandar dunia. Saya menulis travelog saya di alwaysabudgettraveller.com/blog. Saya juga sedang menulis 2 ebook kembara saya iaitu : Travel Bajet ke Shanghai dan Aku dan Dia : Istanbul.
Tujuan saya menyertai kelas asas blog ini adalah untuk personal branding diri saya sebagai pakar dalam pendidikan awal kanak-kanak. Saya berharap dapat menulis buku tentang pendidikan awal kanak-kanak terutama bab literasi kanak-kanak. InsyaAllah.