Entri sebelum ini
Detik yang berlalu, hati makin terasa sayu. Ingin kulihat babah kembali ke pangkuan kami. Kata-kata doktor begitu meruntun jiwa. Babah berhenti bernafas pada kali pertama. CPR dilakukan. Berhenti bernafas kali kedua. Sekali lagi CPR dilakukan.
Lewat petang doktor panggil kami ke bilik mesyuarat. Waktu itu aku tahu peluang untuk melihat babah kembali ke pangkuan kami amat tipis. Babah akan kembali kepada rumah yang abadi.
"Saya ingin minta pendapat ahli keluarga. Encik Mohd Nor telah berhenti bernafas 2 kali. He's brain dead. Jika kali ketiga berhenti bernafas, adakah ahli keluarga mahu CPR dilakukan atau biarkan sahaja?" tanya doktor.
Kami sepakat - kami rela babah pergi. Kami saling bertukar-tukar tempat berada di sisi babah buat kali terakhir. Masih kuingat, pada jam 9.38 malam, aku nampak garis lurus di monitor. Seakan keliru sebentar, aku tanya doktor berhampiran. Beliau hanya diam, tanpa berkata apa-apa.
Aku keluar. Bingung dengan apa yang aku saksikan. 9.40 malam, babah diisytiharkan telah kembali kepada Pencipta.
Air mata aku sudah kering. Kepala terasa sakit. Sepupu-sepupu suruh kami pulang, biar mereka uruskan. Aku pulang dan terus tidur. Kepala makin berdenyut.
Babah disemadikan di saf kubur keluarga ibu. Babah meninggalkan kami seminggu selepas kami meraikan hari jadi babah yang ke 70 tahun.
Masih terngiang kata-kata babah seminggu sebelum itu.
"Doktor kata jantung babah hanya 30% sahaja berfungsi. Makin lemah. Jaga ibu. Adik beradik jangan bergaduh, jangan berpecah."
Kematian mengejut dalam keluarga aku agak lumrah. Sebelum itu, adik ipar aku meninggalkan kami semasa sedang berehat selepas mesin rumput. Ibu saudara aku meninggal dunia ketika sedang berbual dengan babah. Tiba-tiba kepala terlentok di bahu, menghembuskan nafas terakhir di depan mata babah. Sepupuku menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjaga anak asuhan.
Apa yang boleh dipelajari dari kematian mengejut sebegini? Mati itu pasti. Kedatangan tidak diduga, kita harus sentiasa bersedia menghadapi detik itu.
Aku masih belum bersedia. Masih belum taubat nasuha dosa lalu. Masih liat untuk solat awal waktu. Kalimah ittaqullah masih belum mampu tundukkan nafsu.
Moga ada masih diberi peluang baiki kelemahan diri.
No comments:
Post a Comment