Tuesday, November 13, 2018

Kerinduan Yang Tak Terucap

Awal pagi dikejutkan dengan berita suami bekas staf aku dijemput Ilahi. Kematian mudah - rebah selepas bermain badminton. Tidak menyusahkan keluarga dengan sakit berpanjangan. Cuma kematian sebegini - bukan sahaja diiringi dengan tangisan, kadang turut diiringi dengan sesalan.

Isteri yang ditinggalkan, hati kecil pasti berkata, "andainya kutahu...." Anak yang ditinggalkan pasti sedih tidak sempat salam tangan ayah buat kali terakhir. Ibu bapa arwah jika masih ada pasti sedih anak pergi lebih awal dari mereka.

Aku sendiri pernah merasai pengalaman sedih ini. Babah aku meninggal tanpa sempat aku katakan kepada dia yang aku sangat sayang pada dia.

Cerita ibu, babah sedang sapu sampah di halaman rumah bila tiba-tiba dia mengadu sakit dada. Babah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung ketika aku masih di universiti lagi.

Selepas pembedahan Babah jalani hidup yang lebih sihat. Bila ada rombongan kembara warga emas, dia turut serta. Aku yang jadi pembantu peribadi yang tak bergaji - cari pakej yang sesuai dan uruskan segala dokumen perjalanan. Aku ikut jejak babah, suka kembara.

Bila babah mengadu sakit dada, cepat-cepat ibu telefon kakak aku yang tinggal berhampiran. Abangku juga bergegas ke rumah ibu bapa aku. Mujur adik beradik aku tinggal berhampiran.

Babah dikejarkan ke Pantai Medical Centre Ayer Keroh tapi ditolak ke Hospital Besar Melaka.

Aku masih di sekolah ketika kakak aku telefon. Setiap kali ada panggilan dari kampung, aku cuak. Takut apa-apa berlaku kepada ibu dan babah.

"Alang, babah masuk hospital. Sekarang di Hospital Besar Melaka. Kalau boleh, baliklah."

Malam sebelum itu, seperti biasa aku telefon babah. Anak-anak perempuan 4 orang memang rapat dengan babah. Hanya abang long yang rapat dengan ibu.

"Bah, Pok De dah meninggal." Pakcik aku, abang ipar babah meninggal pada hari itu.

"Biarlah." Lain benar suara babah malam itu. Selalu bila kami telefon babah sentiasa ceria. Aku fikirkan mungkin babah tak sihat. Mana nak sangka itu kali terakhir aku dapat bercakap dengan babah.

Mujur sekolah tak jauh dari rumah. Segera aku berkemas dan memandu sendirian balik kampung. Suami menyusul kemudian.

Sedih aku melihat babah setiba aku di Hospital Besar Melaka. Alat bantuan pernafasan bukan sahaja menutup hidung tapi juga keseluruhan kepala.

Babah tunjukkan isyarat 5 (minit) untuk dia berkata sesuatu kepada aku. Ini tidak dibenarkan. Kata jururawat, jika dicabut, kami akan kehilangan babah buat selama-lamanya. Beberapa kali babah tunjuk isyarat 5. Permintaan babah, pihak hospital tidak dapat penuhi. Air mata aku tidak berhenti mengalir. Babah hanya memandang aku dengan pandangan yang sayu.

No comments:

Post a Comment